Ini masalah tidak kuasai Bahasa Melayu – Abang Sallehuddin

0
2

Nurul Huda Abhar

KEDAULATAN bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan tercabar apabila ada agensi kerajaan menggunakan bahasa lain dalam portal rasmi mereka.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata, situasi ini akan membuatkan timbul permintaan bagi penggunaan bahasa lain dalam portal rasmi.

Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran,
Foto Kredit: News Straits Times

“Apabila diwujudkan portal dalam bahasa Mandarin, ia akan menyebabkan masyarakat lain contohnya masyarakat bangsa Tamil, Iban, atau Kadazan juga akan minta perkara yang sama.

“Dalam konteks perpaduan pula akan timbul isu kerana seperti yang kita faham bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan membawa maksud menyatu-padukan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Beliau berkata, apa yang perlu diambil perhatian kini adalah ketidak-mampuan individu tersebut untuk menguasai dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik.

Menurutnya lagi, bahasa Melayu sudah lama bersedia untuk dipraktikkan dalam apa jua bidang termasuk undang-undang.

“Kita sudah mencipta lebih sejuta istilah dalam 300 bidang ilmu. Ini termasuklah bidang undang-undang.

“Sepatutnya apa-apa perbicaraan dalam mahkamah menggunakan bahasa kebangsaan yang difahami.

“Dari segi undang-undang, keadilan adalah paling utama dan mereka perlu faham perjalanan atau hujah-hujah di mahkamah.

“Dalam kes-kes tertentu kebanyakkan orang kena tuduh (OKT) tidak memahami bahasa itu dengan baik.

“Diharapkan penggunaan bahasa Melayu dalam perbicaraan harus ditekankan,” ujarnya lagi.

Abang Sallehuddin turut menegaskan, akta Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

Katanya lagi, semua pihak seharusnya tidak menafikan dan perlu mematuhi perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

“Jadi untuk urusan rasmi kerajaan, perlu guna bahasa Melayu yakni bahasa kebangsaan. Itu ketetapannya,” katanya.

Dalam pada itu, wakil persatuan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, tidak wajar SPRM menggunakan Bahasa Mandarin di laman sesawang rasminya atas alasan memudahkan pemahaman kaum tertentu berhubung perihal agensi tersebut.

Beliau berkata, rakyat Malaysia wajib fasih berbahasa Kebangsaan dan memahami Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara sejagat.

Menurutnya, ia juga suatu bentuk diskriminasi untuk bahasa-bahasa etnik lain jika hanya Bahasa Mandarin saja yang dianggap perlu diberi layanan istimewa oleh agensi kerajaan.

“Saya memohon kerajaan menegur kekhilafan SPRM tersebut dan membatalkan keputusan mereka untuk mengoperasi laman sesawang rasmi dalam Bahasa Mandarin,” katanya. -Malaysiapost