Foto Kredit: Yahoo News Malaysia
Nurul Huda Abhar
MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor Nor menjalani ujian saringan (swab test) bersama 55 individu lain bagi memastikan ke semua mereka bebas daripada penularan wabak Covid-19.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sampel ujian itu telah dihantar ke makmal di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan keputusan dijangka akan diperoleh hari ini.
Dr Mohd Fikri turut memaklumkan bahawa Muhammad Sanusi tidak termasuk dalam senarai kontak rapat (close contact) dengan individu yang telah disahkan positif terbabit.
“Definisi kontak rapat bagi kes Covid-19 adalah individu yang berada dalam jarak satu meter atau lebih dekat lagi dalam tempoh masa 15 minit atau lebih secara berterusan.
“Dalam kes membabitkan Menteri Besar, hasil siasatan yang telah dibuat oleh Petugas Jabatan Kesihatan Negeri mendapati beliau bukan merupakan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dua anggota Exco, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dan Wan Romani Wan Salim antara yang hadir menjalani ujian saringan berkenaan selain kakitangan Pejabat Menteri Besar dan beberapa pimpinan PAS Negeri Kedah.
Ini berikutan terdapat laporan bahawa seorang daripada individu yang disahkan positif Covid-19, hadir sama dalam program penyerahan sumbangan bantuan daripada PAS untuk penduduk dalam kawasan PKPD daerah Kota Setar di Wisma Darul Aman pada 14 September lalu.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menyalurkan bantuan segera RM200 kepada semua 629 keluarga penduduk dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Emco) di Zon Melur, Ambangan Heights, Sungai Petani, hari ini.
Sumbangan berjumlah RM125, 800 diserahkan kepada Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim dalam satu majlis ringkas di Sub Tek Balai Polis Komuniti Ambangan Heights.
”Agihan sumbangan ini akan dilaksanakan oleh petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, bantuan segera itu disalurkan bagi mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi penduduk Zon Melur setelah Emco di kawasan itu dilanjutkan hingga 27 September.
Ini susulan daripada 2 kes baharu positif Covid-19 dikesan dari kawasan itu dalam saringan kali kedua pada 9 September sejak Zon Melur bersama dua zon lain di Ambangan Heights diletakkan bawah Emco sejak 28 Ogos lalu. – Malaysiapost
