ANGKATAN Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya menggagalkan cubaan 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke Sabah melalui kawasan perairan Bangau-Bangau, Semporna, semalam.
Kejayaan itu adalah hasil kerjasama bersepadu diantara tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Pasukan berkenaan yang melaksanakan rondaan Op Benteng berjaya mematahkan cubaan dua bot yang membawa PATI warga Filipina menyusup masuk ke negara ini.
Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad, berkata pesawat jenis C-130H milik TUDM berjaya mengesan tiga bot dari arah Pulau Sitangkai, Filipina menuju ke kawasan perairan Bangau-Bangau, Semporna.
Menurutnya, maklumat itu disalurkan kepada Malaysia Maritime Command Centre (MCC) berpusat di MK ATB 2 untuk diambil tindakan lanjut.
“Kapal Diraja (KD) BAUNG yang berada berhampiran lokasi kejadian diarahkan untuk memantau ketiga-tiga bot berkenaan sehingga pasukan bot pemintas ‘Quick Response Force’ tiba di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran Tim QRF manakala dua lagi berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan kedua-dua buah bot tersebut didapati membawa seramai 42 PATI tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Mereka terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 10 wanita, 10 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berada di dalam kedua-dua buah bot berkenaan.
“Pemeriksaan rapi mendapati barangan ditemui hanyalah barangan persendirian dan tiada penemuan barang-barang merbahaya atau terkawal serta kedua-dua bot berkenaan kemudian diusir keluar dari perairan Sabah,” katanya. – Malaysiapost

