TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tentangannya terhadap Statut Rom dan ICERD kerana menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja termasuk rakyat Malaysia.
“Saya amat berbesar hati kepada Tun Mahathir kerana turut mengatakan mengenai saya dalam buku terkini beliau berjudul, ‘Capturing Hope’.
“Saya dididik dari kecil lagi untuk sentiasa menghormati semua agama dan juga rakyat berbilang kaum. Saya dan keluarga saya juga telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, serta akan terus membantu kebajikan semua kaum.
“Tetapi saya juga adalah seorang bangsa Melayu dan tidak lupa akan tugas saya untuk mempertahankan Agama Islam. Itulah sebab saya menentang Statut Rom dan ICERD,” kata baginda.
Menurut TMJ, berkenan isu Statut Rom dan ICERD ini, bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja, tetapi beliau juga tidak jujur sepenuhnya kepada rakyat Malaysia.
“Perkara yang dibuat secara tergesa-gesa pada ketika itu akan mengugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu.
“Dengan menyerang institusi diraja, Tun tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah negara yang telah dicipta sendiri oleh Tun termasuk isu perpecahan dan asimilasi kaum.
“Satu lagi pengkhianatan kepada rakyat Malaysia adalah apabila janji-janji yang dibuat kepada rakyat tidak ditunaikan,” kata baginda.
Baginda bagaimanapun turut mendoakan kesejahteraan Dr Mahathir dan berharap beliau sentiasa berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara.
“Apa-apapun saya berdoa semoga Tun panjang umur, sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara. ‘I will see you soon, Tun’,” kata baginda. – Malaysiapost

