CAJ transaksi RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di negara ini akan kembali berkuatkuasa mulai 1 Februari tahun depan.
Beberapa bank mengumumkan perkara berkenaan hari ini di laman sosial rasmi mereka termasuk CIMB Malaysia dan Malayan Banking Berhad (Maybank).
“Berkuatkuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1.00 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/ CIMB Islamic
“Anda masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM/ mesin layan diri kami,” menurut CIMB.
Maybank dalam hantaran di akaun Facebook juga mengumumkan yang sama.
“Harap maklum bahawa mulai dari 1 Februari 2022, caj transaksi RM1.00 untuk pengeluaran Wang Tunai Antara Bank di ATM akan dilaksanakan semula.
“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM Maybank,” katanya.
Selain Cimb bank dan Maybank, RHB bank, Citibank, Bank Islam dan HSBC turut memaklumkan perkara yang sama dengan memuat naik notis di Facebook masing-masing.
Pada 6 April 2020, kerajaan telah memutuskan pengecualian caj dalam sistem MEPS.
Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu membayar caj RM1. – Malaysiapost

