Long Tiger lolos dari lokap mahkamah

0
2

OPERASI memburu seorang lelaki warga Myanmar, Abd Hamim Ab Hamid, 33 yang juga dikenali sebagai ‘Long Tiger’ kini sedang giat dijalankan susulan berjaya meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, polis kini menjalankan Ops Tutup di semua jalan keluar dan masuk daerah Tangkak.

“Usaha mengesan suspek masih dijalankan polis serta khidmat anjing pengesan K9 turut digunakan selain sekatan jalan raya (SJR),” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya, polis menerima laporan pada 11.55 pagi tadi memaklumkan seorang lelaki melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit memakai baju T berwarna cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran dan gagal dikesan.

“Abd Hamim dibawa ke mahkamah berkenaan bagi pengakuan bersalah di bawah Seksyen 388, iaitu kes ugutan terhadap seseorang dibawa dari penjara di Sungai Udang, Melaka di sini, semalam.

“Alamat terakhirnya, No 292 Jalan Rambutan, Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, dan pihaknya tidak akan berkompromi serta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak termasuk anggota polis jika siasatan mendapati terdapat unsur kecuaian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222, Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here