PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang menyokong dan meluluskan usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), semalam.
“Sejarah baharu tercipta! Dengan izin Allah SWT, usul Pindaan Perlembagaan berkenaan definisi negeri-negeri dalam Persekutuan yang melibatkan Sabah dan Sarawak berkaitan MA63 telah diluluskan.
“Ia mendapat kelulusan sebulat suara penyokong kerajaan dan pembangkang yang hadir dalam Dewan Rakyat iaitu sebanyak 200/200 dengan 20 tidak hadir.
“Sekalung tahniah dan penghargaan buat Ahli Dewan Rakyat yang telah menyatakan sokongan terhadap usul ini. Inilah semangat kesatuan dalam perbezaan yang saya maksudkan selama ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berharap, langkah yang diambil itu akan memberi manfaat kepada semua Keluarga Malaysia di Sabah dan Sarawak.
“Semoga Keluarga Malaysia kita di Sabah dan Sarawak dapat merasai semua manfaat dan kebaikannya, Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

