Naikkan nilai denda, penjara: ‘Kerja gila, saya tak sokong’ – Najib

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak bersetuju nilai denda maksimum yang dicadangkan dalam pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, nilai maksimum dengan pertambahan hukuman penjara yang dicadangkan itu adalah satu bentuk hukuman yang tidak masuk akal.

“Had maksimum denda individu langgar SOP dinaikkan dari RM1,000 (atau RM10k masa darurat) ke RM100,000 + 7 tahun penjara?

“Had maksimum denda korporat langgar SOP dinaikkan dari RM50,000 ke RM2 juta?Kerja gila. Saya tak sokong,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan pindaan Rang Undang-Undang Akta 342 (2021) amat penting dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama melibatkan syarikat.

Ujarnya, sejak Ordinan Darurat digunakan sebelum ini, banyak kes kesalahan berulang melibatkan kluster di syarikat-syarikat tertentu.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.

Sementara itu Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan turut membandingkan nilai denda RM1,000 yang dikenakan kepada penganjur program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia berbanding nilai denda tinggi yang dikenakan sebelum ini telah membangkitkan perasaan tidak puas hati orang ramai.

“Acara kerajaan didenda RM1k minggu lepas sudah pun menaikkan kemarahan Rakyat sedangkan ramai lagi didenda dengan nilai jauh lebih tinggi termasuk acara BN (RM20k) dan acara Najib (RM20k).

“Penganjur sambutan ‘Keluarga Malaysia’ PM kena denda RM1,000. Malah, saya lupa scan MySejahtera sudahpun didenda RM3k manakala kedai nasi ayam terbabit dikenakan denda RM10k sebab tidak pastikan saya scan MySejahtera,” katanya.

Difahamkan, pindaan RUU berkenaan akan dibahas di Dewan Rakyat pada Khamis ini, iaitu hari terakhir sidang Parlimen bagi tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here