“DALAM komunikasi, tak macam beli ikan. Bila sebut sahaja lebih murah tak semestinya lebih baik,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memaklumkan caj perkhidmatan 5G dijangka lebih rendah berbanding penggunaan 4G yang diguna pakai negara masa ini.
Menurut Shabery, situasi itu sama juga seperti di awal kemunculan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mana setiap pesanan dihantar dikenakan bayaran RM1 kerana ia lebih murah berbanding Telegram ketika itu.
“Dulu pun mula-mula ada sistem SMS, satu SMS yang dihantar kena bayar RM1. Sebab lebih murah berbanding hantar telegram zaman tu.
“Lama kelamaan SMS free (percuma), bercakap pun free. Yang mahal data. Tapi akhirnya cas telefon tinggi juga sebab makin lama makin banyak nak pakai data.
“Dulu dapat tengok video 20 saat pun dah kira ok. Sebab sistem slow. Sekarang bila laju orang nak tengok movie yang 90 minit,” katanya.
Mengulas lanjut, Shabery berkata, di negara maju yang sudah menggunakan perkhidmatan 5G seperti Korea dan Jepun, purata pengguna memakai data hampir tiga kali ganda berbanding 4G.
“Bagi yang tak faham cerita, macam banding ikan kembung dengan ikan bilis lah. Kalau per ekor memang lah bilis murah. Tapi orang tak beli bilis seekor. Itu je,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan, caj perkhidmatan 5G yang akan dilaksanakan nanti dijangka lebih rendah berbanding penggunaan 4G yang diguna pakai masa ini.
Tengku Zafrul berkata, ia selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai pengawal selia memastikan harga yang ditetapkan adalah adil dan berteraskan pemulihan kos, dan bukan untuk menjana keuntungan.
Untuk rekod, 5G ialah standard teknologi generasi kelima untuk rangkaian selular jalur lebar, sekali gus menjadi piawai tanpa wayar global baharu selepas rangkaian 1G, 2G, 3G dan 4G.
Teknologi 5G menawarkan internet ultra laju, masa pendam atau latency lebih rendah dan kebolehpercayaan dipertingkatkan. – Malaysiapost

