PM janji Bajet 2022 akan dilaksanakan penuh hemah

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berjanji akan memanfaatkan mandat sokongan Ahli Parlimen terhadap Bajet 2022 dengan sebaik mungkin.

Perdana Menteri berkata, beliau juga berjanji segala perincian Bajet 2022 akan dilaksanakan dengan penuh hemah demi kesejahteraan seluruh warga Keluarga Malaysia.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Bajet 2022 telah diluluskan dengan jayanya setelah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

“Saya, mewakili Kerajaan Persekutuan, berjanji, untuk memanfaatkan mandat yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Segala perincian Bajet 2022 akan kami laksanakan dengan penuh hemah demi kesejahteraan seluruh warga Keluarga Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau berterima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang memberi sokongan terhadap undian berkenaan, khususnya pihak pembangkang.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli Parlimen yang telah memberi sokongan dalam undian ini, khususnya daripada pihak pembangkang.

“Saya percaya, kekuatan sesebuah pentadbiran itu turut terletak pada proses semak dan imbang yang cemerlang,” katanya.

Kemarin, Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga diputuskan menerusi undian suara.

Pada 18 November lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Bajet 2022 di peringkat dasar selepas kurang 15 orang berdiri meminta undi belah bahagian.

Bajet 2022 yang dibentang Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Bajet 2022 menyediakan peruntukan tertinggi dalam sejarah dengan jumlah RM332.1 bilion bagi menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here