SEORANG pejalan kaki maut dirempuh sebuah kenderaan peniaga warga emas di Pasar Malam Kampung Lapan, Bachang, Melaka, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, pemandu lelaki berusia 71 tahun itu didakwa tersalah menekan pedal minyak ketika mahu menekan brek untuk mengalihkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dipandunya itu.
Dia kemudian turut merempuh empat lagi kenderaan lain yang diletakkan di ruang parking berkenaan. Bagaimanapun tiada kecederaan lain dilaporkan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata mangsa dikenali Tan Kay Sniah 59, maut di tempat kejadian akibat rempuhan itu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV berkenaan hilang kawalan ketika keluar dari tapak parkir sebelum merempuh mangsa mengakibatkannya maut ditempat kejadian.
“MPV itu kemudian turut merempuh tiga lagi lagi kenderaan dihadapannya serta sebuah lori ketika sedang mengundurkan kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ). – Malaysiapost

