PEMBIDA yang berjaya dalam lelongan awam harta milik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman mencetuskan kontroversi apabila menghilangkan diri selepas berakhir proses lelong berkenaan, semalam.
Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol bukan sahaja gagal membuat pembayaran berjumlah RM132,000 setelah berjaya dalam lelongan awam itu, malah menghilangkan diri begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan.
Peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili OWA Resources Sdn iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Sajjad, mendapati Mohammad Syazwan gagal tampil membuat pembayaran sehingga kira-kira jam 4 petang, semalam.
Menjelaskan lanjut tentang identiti pemuda terbabit, Nurul Hafidzah berkata beliau difahamkan pembida tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan rakan baik Sajjad yang juga jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Menurut Nurul Hafidzah, foto Aliff dapat dilihat pada profil aplikasi WhatsApp milik Mohammad Syazwan.
Hasil semakan juga mendapati individu yang dimaksudkan sering muncul dalam Instagram milik Aliff.
Bagaimanapun, Nurul Hafidzah enggan membuat spekulasi tentang kaitan Aliff dalam lelongan berkenaan.
“Saya tak kenal dia (pembida) tapi profil WhatsApp memaparkan fotonya bergambar bersama Aliff Syukri dan ada kenalan saya memberitahu lelaki itu ada kaitan dengan usahawan itu.
“Tapi saya tak pasti jika lelaki itu disuruh oleh Aliff atau sebagainya, kami hanya membuat spekulasi… tak pasti betul atau tidak.
“Kes lari dari lelong ini saya tak pernah jumpa lagi… kita sedang melihat dari sudut undang-undang jika individu ini boleh diambil tindakan,” katanya.
Nurul Hafidzah juga menyifatkan pembida berkenaan seolah-olah melakukan satu penghinaan kepada mahkamah apabila melarikan diri selepas berjaya dalam bidaan.
“Tindakannya ini seperti mempermainkan proses mahkamah di mana saya kira macam satu penghinaan. Kes lari dari lelong ini saya tak pernah jumpa lagi… kita sedang melihat dari sudut undang-undang jika individu ini boleh diambil tindakan.
“Kita penat sebab dah kejar berapa tahun untuk mendapatkan pampasan ini, banyak perbincangan dengan pelbagai permohonan dan sekarang buat macam ni pula, memang pening kepala.
“Tapi kita tak tahulah tindakan ini berniat atau tidak, cuma kita terkilan sebab dah buat semuanya, sekarang ini terpaksa tunggu tarikh bidaan baharu pula,” katanya.
Menurut Nurul Hafidzah, wang deposit RM5,000 milik pembida tersebut tidak boleh dikembalikan semula dan menjadi sebahagian hasil lelongan. – Malaysiapost

