Guan Eng masuk IJN, perbicaraan rasuahnya diteruskan

0
2

PERBICARAAN kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan pembinaan jalan utama di Pulau Pinang, tetap diteruskan hari ini walaupun beliau dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Hakim Azura Alwi memerintahkan perbicaraan diteruskan hari ini tanpa kehadiran bekas Ahli Parlimen Bagan itu dengan mengguna pakai Seksyen 264 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Memetik laporan Kosmo, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng sebelum itu memaklumkan, anak guamnya dimasukkan ke IJN sejak Ahad lalu dan menjalani prosedur perubatan semalam.

Katanya, tertuduh diberi cuti sakit selama tiga hari sehingga esok.

Gobind berkata, jika perbicaraan diteruskan, mahkamah boleh mendengar dahulu keterangan tiga saksi formal tanpa kehadiran Guan Eng.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin meluahkan kekesalannya dengan ketidakhadiran Guan Eng pada prosiding tersebut walhal tiga saksi dari Pulau Pinang hadir dan bersedia memberi keterangan.

Katanya, Guan Eng telah mengadakan temujanji dengan doktor di IJN pada 7 Disember lalu dan memilih untuk dimasukkan ke wad pada Ahad sedangkan tertuduh mengetahui perbicaraan telah ditetapkan hingga esok.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai berbilion ringgit.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah CZBUCG yang dilantik sebagai kontraktor bagi projek berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here