‘Hati saya dah berpunya, tak berniat cari nombor 2’ – Tengku Zafrul

0
2

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terkejut dengan laporan mengenai seorang wanita menyerahkan RM4,200 selepas terpedaya janji manis ‘scammer’ yang menyamar sebagai dirinya untuk mengahwini mangsa.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan janji manis terutama orang yang tidak dikenali.

Tengku Zafrul berkata, selepas ini jika ada pihak yang mengakui sebagai Menteri Kewangan dan menjanjikan cinta atau perkahwinan, itu semua hanya pembohongan kerana dirinya sudah berpunya malah setia pada yang satu.

“Saya minta semua di sana berhati-hati dengan pelbagai scam di luar sana. Semak dengan pihak berkuasa kalau ada perkara yang mencurigakan. Jangan mudah percaya dengan janji manis orang yang tidak dikenali.⠀

“Kalau ada yang selepas ini menyamar sebagai Menteri Kewangan, menjanjikan cinta, tolonglah tolak mentah-mentah. Hati saya dah berpunya dan saya tak berminat nak cari no 2. Pesanan ini juga khas untuk isteri saya,” katanya.

Semalam, media melaporkan, seorang guru tadika berusia 59 tahun kerugian RM4,200 ditipu individu yang mengaku sebagai Menteri Kewangan Malaysia.

Dalam kejadian itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek menggunakan nama Facebook Tengku Zafrul.

Suspek memperkenalkan diri sebagai Menteri Kewangan selain turut menghantar mesej kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp.

Suspek berjanji untuk memberikan wang sebanyak RM1 juta dan sebuah kenderaan jenis Roll-Royce kepada mangsa jika bersetuju untuk berkahwin dengannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here