Khairulazhan, Faisal dan Quentin kembali sertai skuad Harimau Malaya 

0
2

TIGA pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 yang diuji positif Covid-19 sebelum ini iaitu Khairulazhan Khalid, Faisal Halim dan Quentin Cheng kembali menyertai pasukan di hotel penginapan di Singapura, hari ini. 

Menurut ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, ketiga-tiga pemain itu telah mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura semalam selepas Khairulazhan dan Faisal selesai menjalani tempoh 10 hari Perintah Pengasingan (Isolation Order). 

Quentin pula diberi pelepasan awal selepas tempoh tujuh hari Perintah Pengasingan berdasarkan keputusan ujian PCR yang dijalankan. 

“Ketiga- tiga pemain ini telah bersama pasukan dengan aktiviti pertama ialah di gimnasium memandangkan hari ini merupakan hari recovery selepas kita beraksi menentang Vietnam, malam tadi. 

“Mereka selepas ini akan dapat turut kembali menyertai sesi latihan penuh di padang bagi persiapan menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada Ahad. 

“Bagaimanapun seorang lagi pemain yang positif Covid-19 sebelum ini iaitu Akhyar Rashid masih perlu melengkapkan tempoh 10 hari Perintah Pengasingan dan hanya akan kembali menyertai pasukan selepas tamat tempoh berkenaan,” kata Cheng Hoe seperti dilapor di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). 

Berhubung kecederaan dua pemain pertahanan tengah iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad, pengendali Harimau Malaya itu berkata, kedua-dua pemain telah mendapat kecederaan hamstring sehingga terpaksa dikeluarkan ketika aksi bertemu Vietnam, malam tadi. 

“Doktor dan fisioterapis pasukan akan terus memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain dari semasa ke semasa sebelum kita membuat penilaian sama ada mereka sempat atau tidak untuk pulih menjelang perlawanan menentang Indonesia. 

“Bagi posisi pertahanan tengah ini, kita masih memiliki Dominic Tan yang bebas sebarang kecederaan manakala Junior Eldstal masih dalam proses pemulihan kecederaan otot di bahagian abdomen. 

“Namun, kita bakal memiliki Dion Cools yang dijangka tiba di Singapura Khamis ini untuk mengisi posisi pertahanan tengah andai Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here