‘Allahyarham Mohd Firdaus wira di hati Keluarga Malaysia’ – PM

0
2

DATUK Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Pegawai Bomba (PB) Mohd Firdaus Sulaiman, yang meninggal dunia pagi tadi akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran.

Perkara tersebut disampaikan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

“Menerima perkhabaran mendukacitakan akan pemergian wira kita, Mohd Firdaus Sulaiman dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat yang pulang ke rahmatullah jam 4.10 pagi tadi.

“Allahyarham sebelum ini cedera ketika operasi kebakaran kilang pada 11 Disember lalu.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham dan semoga tabah dalam dugaan yang dihadapi ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Allahyarham Mohd Firdaus, 32, adalah wira di hati Keluarga Malaysia dan pengorbanan dari seorang wira pastinya akan dikenang sampai bila-bila.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah untuk Allahyarham Mohd. Firdaus,” katanya.

Sabtu lalu, PB Mohd Firdaus dan anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang, Mohamad Azuraini Mahrani, 40 cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba, Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52 melecur dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 5.15 pagi.

Katanya semasa operasi pemadaman, berlaku letupan di tingkat tiga bangunan kilang kira-kira jam 10 pagi menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.

Letupan menyebabkan Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini yang berada di tingkat tiga tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah.

Manakala Syed Putra yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala selepas terkena bahang letupan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here