JABATAN Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membelanjakan RM805,000 untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan bekalan air daripada sistem rawatan alternatif di tujuh Kampung Orang Asli (KOA) di daerah Gua Musang untuk tahun ini.
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata untuk tahun 2022 pula, JAKOA akan memperuntukkan RM800,000 bagi kerja pembaikan dan menaiktaraf sistem rawatan di Pos Brooke, Jajahan Gua Musang.
“Bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terbengkalai di Pos Gob, Gua Musang, dan Pos Kemar, Hulu Perak, ia akibat kekangan kos kerana kedua-dua lokasi terletak di kawasan pedalaman ekstrem.
“JAKOA mengambil perhatian serius berkenaan perkara ini dan dalam tindakan bagi memastikan projek tersebut disiapkan dan penerima mendapat manfaat sewajarnya.
“Memandangkan projek tersebut telah terbengkalai dalam tempoh lama, rumah tersebut didapati tidak kondusif dan ekonomik untuk dibaiki,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Abdul Rahman berkata penerima bantuan PPRT yang terbengkalai di Pos Gob, Gua Musang telah menerima bantuan rumah pada tahun 2016.
Manakala katanya, bagi penerima di Pos Kemar, Hulu Perak pula, pihak JAKOA masih mengenalpasti keperluan kos sebenar untuk pembaikan dan baikpulih projek sekiranya bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata ketika ini terdapat 117 KOA yang diiktiraf di daerah Gua Musang yang mana 105 kampung memperoleh bekalan air daripada sistem rawatan alternatif yang dibina oleh kementerian dan JAKOA.
“JAKOA telah melantik 26 kontraktor penyelenggaraan di kampung-kampung itu bagi melaksanakan penyelenggaraan dan pembaikan kecil sistem rawatan untuk memastikan penduduk sentiasa menerima bekalan air terawat dan selamat untuk kegunaan mereka.
“Pada masa sama, JAKOA telah membuat perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf dan membaikpulih sistem rawatan yang memerlukan penggantian peralatan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Ajis Sitin mengenai tindakan kerajaan untuk memastikan semua projek dilaksanakan di perkampungan Orang Asli termasuk Projek Bekalan Air Terawat sekitar Gua Musang yang banyak tidak berfungsi, Projek PPRT di Pos Gob dan Pos Kemar yang terbengkalai diambil tindakan dan dilaksanakan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Adul Rahman Mohamad

