RM79.8 juta bina, baik pulih PPRT di Sarawak

0
2

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan RM79.8 juta bagi membina dan membaik pulih rumah rakyat termiskin di Sarawak tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jumlah tersebut meliputi 405 projek bina baharu dan 3,077 baik pulih rumah bagi golongan yang memerlukan bantuan program perumahan itu.

“Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ini merupakan bantuan daripada kerajaan untuk membina baharu atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kumpulan sasar PPRT adalah ketua isi rumah miskin tegar dan miskin yang ditentukan berdasarkan pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis penyerahan bantuan enjin sangkut di Program Peningkatan Pendapatan, PPP dan PPRT dekat Kampung Awat-Awat, hari ini.

Beliau berkata, GIATMARA telah diberikan tanggungjawab sebagai agensi pelaksana projek PPRT Wilayah Sarawak meliputi 180 unit rumah bina baharu dan 1,162 unit rumah baik pulih dengan peruntukan sebanyak RM29.7juta.

“Selebihnya dilaksanakan oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED).

“Sehingga 15 November lalu, sebanyak 800 unit rumah bina baharu telah berjaya disiapkan 75 peratus. Sebanyak 10,000 unit rumah pula telah berjaya disiapkan 100 peratus bagi program baik pulih,” katanya.

Menurutnya, sejumlah RM1.5 juta dibelanjakan bagi 15 projek bina baharu dan 32 projek baik pulih rumah penerima manfaatnya di Lawas.

“Bagi daerah Limbang pula, GIATMARA melaksanakan 19 projek PPRT bina baharu dan 20 baik pulih rumah melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta,” katanya.

Sementara itu, bagi Program Peningkatan Pendapatan PPP, katanya, KPLB telah menyalurkan sejumlah RM700,000 kepada GIATMARA Wilayah Sarawak tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 disalurkan kepada 50 penerima manfaat di Lawas.

“Ia merangkumi program meningkatkan pendapatan nelayan kumpulan B40 di daerah itu melalui penyerahan bantuan enjin sangkut kepada 50 pesertanya.

“Kadar bantuan maksimum program PPP adalah sebanyak RM10,000, bergantung kepada projek yang dilaksanakan.

“Peruntukan projek yang diluluskan akan ditentukan sepenuhnya oleh pihak kementerian dan bantuannya merangkumi kos latihan atau kursus kemahiran projek yang berjumlah maksimum RM1,500 seorang mengikut keperluan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here