PENDAKWAH terkenal Ebit Lew teruja apabila dipanggil ‘Prince Mohamad’ oleh penduduk tempatan di kepulauan Cabo Frioa Rio De Janeiro, Brazil.
Ebit yang sedang menjayakan misi kemanusiaan di negara Amerika Selatan itu berkongsi pengalamannya di Facebook mengenai sikap penduduk tempatan terhadap kehadiran rombongannya.
“Tadi pusing dan sebarkan kasih sayang di Cabo Frio Rio De Janeiro Brazil. Ramai senyum dan semua pusing pandang saya.
“Kami berkongsi rezeki dan berkasih sayang di kawasan pulau di Brazil. Paling terkejut mereka panggil Prince Mohamad. Gelak saja saya. Ramai kata mereka tak pernah tengok orang macam saya sampai sini,” katanya.
Dalam perkongsian itu, Ebit menitipkan nasihat agar berbuat baik sesama manusia yang selari dengan ajaran Islam.
“Syukur rasa. Alhamdulillah. Terasa baik orang sini. Semua orang akan tunjuk saya. Bila saya senyum mereka akan senyum gembira.
“Mereka teruja betul tengok saya. Nabi Muhammad SAW ajar ke mana sahaja kita pergi sebarkan salam, beri makan dan bangun malam doa kebaikan buat semua,” katanya. – Malaysiapost

