
Dr Al-Azhari Siddiq Kamunri
TANPA mengenepikan konsep Wawasan 2020, ketika Pak Lah membawa konsep Islam Hadhari, kemudian 1Malaysia oleh Datuk Seri Najib Razak, saya berpeluang beraksi di arena Putrajaya untuk menjayakannya, untuk negara bangsa kita.
Apabila PH mengambil alih pemerintahan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenal konsep Malaysia Baharu. Saya telah ditugas oleh jabatan untuk menyampaikan ceramah konsep Malaysia Baharu, malah menulis mengenainya, kerana tidak ada pegawai yang berani melakukannya. Saya berani kerana saya melihat Negara, saya tidak melihat politik.
Anda masih boleh ulang baca di https://www.nst.com.my/opinion/letters/2019/01/454503/what-does-new-malaysia-mean dan juga kaitannya di https://www.malaysiakini.com/news/506440 Sudah tentu saya akan kaitkan tema membina negara bangsa dan menyemai patriotisme.
Begitu juga ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui negara dengan tema Malaysia Prihatin. Hari ini, saya melakukan perkara yang sama jua melalui konsep Keluarga Malaysia, bacaan ulangan anda di https://www.malaysiakini.com/letters/588404
Ismail Sabri, Jokowi Malaysia?
100 hari pentadbiran DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, saya melihat suatu kesinambungan sebenarnya. Bukannya perebutan atau perseteruan dengan mantan-mantan Perdana Menteri. Itu tidak saya lihat dalam falsafah politik dan pentadbiran Ismail Sabri di Putrajaya.
Ramai orang tidak tahu bahawa Ismail Sabri tidak pernah bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri, malah beliau pernah berkata cukuplah pencen sebagai Menteri sahaja.
Namun begitu, perancangan manusia dengan perancangan Tuhan tidak sama. Sudah pasti Tuhan memberikan yang terbaik kepada negara dan rakyat pada ketikanya. Marilah kita bersyukur kerana di kala kemelut politik tempohari, Tuhan telah memberikan negara kita pemimpin yang sesuai dengan keadaan negara.
Saya rasa perlu terus berkongsi dengan anda apa yang berlaku di Putrajaya.
Pertama, Ismail Sabri bukan seorang yang pendendam, pemusuh atau penjatuh. Sebab itulah sehari sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau boleh bertemu dan mendengar suara hati pemimpin-pemimpin utama parti Umno, Bersatu, PAS, malah menyantuni DAP, PKR, Amanah dan parti-parti lain dengan membawa falsafah kerajaan kita, negara kita dan rakyat kita. Akhirnya, kerajaan terbentuk di kala kesukaran yang amat sangat ketika malam 20 Ogos 2021.
Itulah kejayaan hari pertama dan minggu-minggu pertama Ismail Sabri, tidak perlu pun menanti 100 hari jua. Ia disusuli dengan lakaran sejarah baharu apabila kerajaan Persekutuan dan blok pembangkang Pakatan Harapan sepakat memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021. Kejayaan gentlemen agreement ini tidak pernah berjaya dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Dari aspek ekonomi, kejayaan besar yang sangat teruji apabila Belanjawan 2022 dan RMK12 mendapat kepercayaan di dalam Dewan Rakyat. Harus diingat, dengan kepelbagaian pandangan politik dalam kerajaan dan di luar kerajaan, malah tanpa 2/3 majoriti, adalah sangat sukar untuk meyakinkan kepentingan Belanjawan dan Rancangan Malaysia kepada ahli-ahli parlimen. Ianya untuk negara bukan untuk parti, individual atau pun kroni.
Setiap hari group-group WhatsApp saya di Sabah melenting dan marah kepada Kerajaan Persekutuan kerana ketergagalan lebuhraya PAN Borneo. Ismail Sabri amat memahami, akhirnya dua minggu lalu, tidak sampai 100 hari pun, projek lebuhraya PAN Borneo disambung fasa demi fasa yang tergendala semasa PH memerintah. Ini adalah suatu falsafah Keluarga Malaysia dalam politik dan ekonomi untuk Sabah dan Sarawak.
Begitu juga dalam isu Bumiputera yang masih jauh ketinggalan dari aspek ekonomi. Ismail Sabri telah menubuhkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) dengan 6 teras utama khususnya kepada ekonomi digital. Saya lihat ini suatu tindakan berani beliau membela nasib dan masa depan Bumiputera khususnya golongan B40, miskin bandar dan di kawasan pedalaman.
Saya fikir, jika kita semua mampu bersabar sedikit masa lagi sehingga tamat tempoh 2023, saya yakin Ismail Sabri boleh melaksanakan banyak perkara lagi untuk negara dan rakyat Malaysia.
Masa pentadbiran yang singkat oleh kerajaan PH (2018-2020) dan PN (2020-2021), bukan suatu idea yang baik dalam konteks ketamadunan negara bangsa. Kita tidak patut mengulangi pemerintahan pendek itu lagi.
Apakah kita mahu menggunapakai formula Lee Kuan Yew? Dalam bibliografi terkenalnya, Kisah Temasek, LKY menyatakan untuk memajukan sesebuah negara, Kerajaan perlu kuat. Pembangkang perlu dilemahkan supaya tidak menggangu perancangan Kerajaan membangun negara. Adakah itu formula LKY berjaya membangunkan Singapura?
Semasa Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York tahun 2015, saya bertanya Najib kenapa perlu buat keretapi laju? Katanya supaya projek mega ini memberi pekerjaan kepada siswazah-siswazah puluhan ribu setiap tahun. Saya teringat kenapa Tun Razak membina Lebuhraya Timur-Barat? Selain isu pembangunan di pantai timur, sebenarnya juga supaya anasir Komunis terusir dengan sendirinya pergi jauh ke dalam hutan di sempadan Thailand meninggalkan Lebuhraya Timur-Barat itu. Sesuatu yang tidak dibaca oleh orang awam.
Ismail Sabri memiliki falsafah itu, langkah menggerakkan semula projek-projek yang tergendala sejak 2018 adalah suatu langkah pro aktif menghidupkan semula ekonomi negara. Isu tetap menjadi isu, President Obama (2010) berkata, hari ini apa jua yang berlaku di luar sana baik isu bola, emas, baju dan sebagainya semuanya akan dipolitikkan. Namun rakyat perlu pekerjaan, graduan perlu kerja dan ekonomi perlu berputar lancar bagi memasti rangkaian perekonomian rakyat kembali pulih.
Kejayaan pentadbiran Ismail Sabri mengawal pandemik Covid-19 ke paras 4,000-5,000 kes sehari berbanding 10,000-20,000 sehari beberapa bulan yang lalu sangat luar biasa. Sudah pasti kejayaan ini adalah kejayaan berkesinambungan, malah Ismail Sabri melantik TSMY sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, sesuatu yang tidak dilakukan oleh perdana Menteri sebelumnya.
Kesimpulan
Kejayaan 100 hari Ismail Sabri sebenarnya rangkuman kepada kejayaan mengawal politik negara dengan penuh tatasusila. Dengan kestabilan yang kita nikmati 100 hari ini, ia memberi aura dan nafas baharu dalam ekonomi negara.
Jika anda bertanya sampai bila, Francis Fukuyama ada menjawab dan saya secara total menegaskan semula, teruskan sehingga di penghujung demokrasi 2023. Belanjawan 2022 perlu dinikmati oleh segenap lapisan rakyat dan RMK12 perlu direalisasikan terlebih dahulu. Lupakan kegilaan pilihanraya, kerana ianya mengganggu kebahagiaan rakyat. Itu demokrasi jelek kata sahabat saya di Jakarta.
Ada orang bertanya kepada saya apakah Ismail Sabri orang yang mengenang budi rakyat? Ini jawapan saya, Ismail Sabri tidak pernah tidak melawat guru kelasnya tahun 1973 setiap tahun tanpa gagal, walaupun sesudah menjadi menteri dan Perdana Menteri.
Ada satu peristiwa, Ismail Sabri tiba-tiba mengarahkan pemandunya membelok ke suatu perkampungan yang bukan dalam jadual kerja, rupa-rupanya beliau ke rumah anak-anak yatim yang tidak diketahui pun oleh para pegawainya. Itulah Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia yang humble. Saya gelarkan, bakal menjadi Jokowi Malaysia.
.
Penulis adalah lulusan sains politik dalam bidang politik dan kerajaan. Area studi beliau dalam bidang pembinaan negara bangsa, patriotisme dan keselamatan negara.
