SEMPENA sambutan Hari Buluh Sedunia 2020 (WBD2020) pada 4 Oktober ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif.
Antara inisiatif itu adalah menyenaraikan spesies buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) dengan menawarkan pinjaman mudah kepada pihak industri yang berminat dan ia merangkumi semua spesies buluh yang boleh dibangunkan melalui perladangan.
“Selain turut membangunkan piawaian antarabangsa berkaitan buluh dan produk buluh.
“Menjalankan kerjasama R&D dengan institusi penyelidikan serta beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pembangunan produk berasaskan buluh seperti venir, papan laminasi serta arang.
“Menjalankan promosi seperti penganjuran Hari Buluh Sedunia, seminar dan latihan yang membabitkan peserta tempatan serta luar negara,” katanya menerusi kenyataan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga berkata, beliau turut merancang dan membina Pusat Tapak Semaian Buluh serta makmal tisu kultur buluh di Lahat, Perak; merancang dan melaksanakan Projek Model Ladang Buluh serta kajian & penyelidikan buluh di Terengganu bermula pada 2021 hingga 2025.
“Sempena WBD2020 juga, satu memorandum perjanjian (MoA) antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Pusat Latihan Industri Perkayuan (TTITC) akan dimeterai untuk Pembangunan Model Ladang Buluh di Terengganu untuk dijadikan sebagai satu pusat rujukan model ladang buluh di Malaysia.
“Kementerian saya akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program ‘game changer’ dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025 yang sedang dibangunkan dengan mengambil kira pandangan dari semua pihak,” katanya.- Malaysiapost

