AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Pejabat Peguam Negara (AGC)yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan baharu terhadap kes membabitkan suami bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Mohd Puad mempertikaikan perkara itu dengan mendakwa PDRM sudah mengambil keterangan Datuk Dr Tawfiq Ayman pada 15 April 2021 dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC pada Oktober lalu.
“PDRM sudah mengambil keterangan daripada suami Zeti pada 15 April 2021. Bukankah polis sudah lengkapkan siasatan dan serah kepada Peguam Negara pada 21 Oktober 2021.
“Sekarang Peguam Negara arah buat siasatan baru. Sedangkan (Datuk Seri)Najib (Razak) sudah dibicara dan dijatuhkan hukuman bersalah. Betapa ironinya,” katanya menerusi Facebook.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, beliau juga hairan mengapa PDRM yang perlu menjalankan siasatan sedangkan ia membabitkan kes rasuah.
“Tetapi kenapa PDRM yang siasat dan bukannya SPRM? Bukankah kes rasuah sepatutnya SPRM yang siasat?
“Apakah hasil siasatan SPRM setebal 14 muka surat yang dibocorkan oleh Malaysia Today, tidak lengkap dan tidak lagi boleh diguna pakai?,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Pejabat Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan polis untuk membuat siasatan lanjut terhadap Tawfiq berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, setelah polis menghantar kertas siasatan kepada AGC pada 21 Oktober lalu.
“Siasatan telah dibuat oleh polis dan kertas siasatan telah dirujuk kepada AGC pada 21 Oktober 2021.
“AGC telah mengarahkan polis untuk menjalankan beberapa tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Pada Mac lalu, polis berkata pihaknya akan menyiasat Tawfiq atas dakwaan menerima dana yang dikaitkan dengan 1MDB, menerusi akaun sebuah bank di Singapura di bawah namanya.
Polis berkata Tawfiq disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – Malaysiapost

