PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu persidangan sayap parti itu di seluruh negara yang bermula hari ini, menjadi medium memperkukuhkan lagi kekuatan Umno.
Ahmad Zahid berkata, persidangan ini juga sebagai wadah memperkuatkan keyakinan dan memperkasakan iltizam parti demi masa hadapan Umno terus gemilang.
“Jadikanlah persidangan kali ini sebagai suatu wacana kesatuan fikiran yang paling utuh pernah disaksikan.
“Kerana persidangan kali ini sangat penting demi masa depan parti keramat agama, bangsa dan negara.
“Perkukuhkan kemuafakatan, perkuatkan keyakinan, perkasakan iltizam demi Umno gemilang dan terus terbilang,” katanya di Facebook, hari ni.
Sambil mengucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno seluruh negara, Ahmad Zahid juga berharap ketiga-tiga sayap itu terus menjadi tunjang kekuatan Umno pada masa hadapan.
“Saya ucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian di seluruh negara.
“Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno adalah tunjang kekuatan parti dan kesetiaannya tidak pernah berbelah bahagi semasa senang mahupun susah.
“Yakinilah tiada apa mampu melemahkan kekuatan dan kesatuan selagi berpegang teguh kepada kebenaran dan ketulusan,” katanya.
Beliau turut menasihati perwakilan mematuhi SOP yang ditetapkan ketika menghadiri persidangan.
“Berdoalah agar persidangan kali ini mendapat rahmat serta keberkatan daripada Allah SWT dan patuhi segala SOP ditetapkan.
“Jangan sesekali terlupa menjaga keselamatan diri dalam semangat yang membara,” katanya. – Malaysiapost

