JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dengan empat program yang ditetapkan berjaya terlaksana.
Menterinya Idris Ahmad, berkata selain empat program yang menjadi KPI diperingkat jemaah menteri itu, kesemua 208 program melalui Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19) yang merangkumi lima inisiatif telah dilaksanakan dengan jayanya.
Beliau berkata, secara ringkasan, pentadbiran 100 hari pertama ini, kerajaan memberikan tumpuan untuk mengeluarkan masyarakat daripada suasana pandemik Covid-19 kepada endemik.
“Dalam pada itu, berusaha mengubah kegusaran rakyat kepada kehidupan yang lebih ceria dan bermakna.
“Dengan izin-Nya saya, Datuk Marzuk Shaary (Timbalan Menteri) dan pasukan Menteri Agama bekerja melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan.
“Saya berpuas hati dengan kesungguhan dan kegigihan yang ditunjukkan oleh semua agensi Islam dalam menyantuni Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, walaupun tidak mampu menyelesaikan semua perkara tetapi sedikit sebanyak dapat menggembirakan para penerima khususnya asnaf dan golongan B40.
“Kami di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memperkemaskan lagi tadbir urus hal ehwal Islam dari semasa ke semasa dalam memartabatkan Islam di negara tercinta ini insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

