TULAR di media sosial hari ini beberapa rakaman video kejadian buli dipercayai berlaku di asrama sebuah institusi pendidikan menunjukkan seorang remaja di tumbuk di perut serta turut ditendang oleh beberapa remaja lain.
Video berkenaan ditularkan oleh seorang pengguna Facebook, namun semakan mendapati kesemua rakaman itu sudah dipadamkan daripada akaun terbabit dan tarikh serta di mana kejadian sebenar berlaku tidak dapat dipastikan.
Terdapat empat video yang tersebar dan dua daripadanya berdurasi 30 saat, manakala dua lagi masing-masing berdurasi 10 saat dan 12 saat.
Antara ‘aksi’ yang dirakam dalam video terbabit menunjukkan seorang remaja berpakaian baju warna merah dan seluar kelabu di tumbuk di bahagian perut oleh seorang remaja lain.
Turut dirakam serang lagi remaja lain bertindak menyepak punggung remaja sama dengan kuat, namun remaja yang dibuli terbabit hanya berdiam diri.
Beberapa remaja lain turut terakam dalam video berkenaan yang dipercayai turut bersubahat dalam perbuatan buli berkenaan dengan memberi arahan bahagian tubuh mana dan cara mangsa ditumbuk serta ditendang.
Turut tersebar tangkap layar mesej perbualan dipercayai seorang pelajar di institusi berkenaan yang meminta agar video-video terbabit tidak disebarkan selain perkara itu dikatakan akan diambil tindakan oleh barisan kepimpinan pelajar.
Difahamkan juga pelajar di institusi berkenaan sedang menjalani kuarantin di bilik asrama kerana terdapat pelajar yang positif Covid-19. – Malaysiapost

