Pemuda Umno gesa Tengku Zafrul perjelas lantikan DNB

0
2

MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menjelaskan kewajaran perlantikan syarikat yang tiada pengalaman dan infrastruktur untuk mengendalikan teknologi 5G dengan kos RM5 bilion.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya memandang serius jawapan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, di Dewan Rakyat semalam yang mendakwa Tengku Zafrul melantik syarikat bernama DNB untuk mengendalikan teknologi 5G berkenaan.

Beliau berkata, dalam jawapan berkenaan pelantikan itu juga dikatakan dibuat secara tiba-tiba tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Dua persoalan besar yang tercetus ialah pertama, bagaimana proses pelantikan sebuah syarikat yang tidak berpengalaman boleh dibuat tanpa perbincangan dengan pihak Kementerian yang bertanggungjawab memastikan kesempurnaan pembangunan teknologi 5G?

“Kedua, bagaimanakah proses penilaian dan tender dibuat apabila melibatkan peruntukan sebesar RM11 billion?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dikhabarkan kos pada mulanya adalah RM7.5 bilion sebelum Menteri Kewangan mengatakan peningkatan kos meningkat kepada RM11 billion.

“Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DNB pula dilaporkan mendakwa kos adalah RM16.5 bilion dan boleh meningkat sehingga RM20 bilion.

“Dengan peruntukan sebesar itu dan pastinya juga melibatkan wang rakyat, maka sudah tentu jawapan tuntas wajib dikeluarkan segera oleh Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya apa jua bentuk penyelewengan dan ketirisan dalam menyediakan kemudahan teknologi 5G kepada rakyat dengan peruntukan yang besar.

“Rakyat hari ini mendambakan segala projek yang diluluskan demi kepentingan rakyat wajib dibuat mengikut prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik.

“Ia perlu bebas daripada sebarang bentuk penyimpangan dan penyelewengan, demi memastikan manfaatnya bukan sahaja kembali kepada rakyat tetapi tidak sesekali mempersiakan setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here