Lesen arak: Tangguh penguatkuasaan, bukan serah pada kerajaan negeri – Guan Eng

0
2

KEMENTERIAN Kewangan tidak seharusnya menyerahkan kuasa membuat keputusan kepada kerajaan negeri tetapi terus menangguhkan penguatkuasaan pelesenan bir di kedai kopi dan restoran.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata dalam erti kata lain, penangguhan tersebut harus dikembalikan dan tidak diterbalikkan.

“Membiarkan Pihak Berkuasa Perlesenan Negeri masing-masing memutuskan sama ada untuk mendapatkan lesen menjual bir adalah lebih buruk daripada kedudukan sebelumnya di mana Jabatan Kastam dan Kementerian Kewangan tidak mengesyorkan keperluan lesen.

“Siapa yang akan bertanggungjawab ke atas kos tambahan dan kesulitan dihadapi kedai kopi dan restoran jika beberapa kerajaan negeri mengenakan keperluan pelesenan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, arahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia tidak dibatalkan seperti didakwa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, katanya ia akan dikemas kini bagi membolehkan Pihak Berkuasa Perlesenan Negeri di kerajaan negeri masing-masing memutuskan sama ada akan mengenakan bayaran pelesenan ke atas penjualan bir dengan kopi di kedai dan restoran.

“Ka Siong membayangkan perkara itu telah diselesaikan, selepas mendakwa arahan Jabatan Kastam bahawa kedai kopi dan restoran mesti mendapatkan lesen alkohol berharga sehingga RM1,300 untuk menjual bir telah dibatalkan.

“Tetapi sebenarnya tanggungjawab itu kini diserahkan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan kerajaan setakat ini tidak berhasrat menarik balik sebarang kelulusan berkaitan pelesenan penjualan minuman keras dan ia kekal di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan.

Beliau turut menafikan tohmahan yang menuduhnya bertindak membatalkan perkara berkaitan aspek pelesenan berkenaan.

Beliau berkata, perwakilan kuasa Menteri Kewangan bagi kelulusan penjualan minimum keras secara runcit di premis, kekal tanpa sebarang perubahan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri melalui perintah diwartakan, pada 1977.

Menurutnya, oleh itu sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here