Bersara? Liu Ying belum ada jawapan

0
2

PEMAIN beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying mengakui belum ada jawapan sama beliau sudah ‘menggantung raket’ pada usia 32 tahun kini.

Ia susulan pemisahannya bersama pasangan beregu campuran sejak 13 tahun lalu, Chan Peng Soon baru-baru ini.

“Ramai yang tanya jika Liu Ying sudah gantung raket? Sebenarnya saya pun tertanya-tanya soalan yang sama dalam hati, tetapi malangnya belum ada jawapannya.

“Bagilah sedikit masa. Terima kasih kepada semua atas sokongan anda selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sementara itu Liu Ying menyampaikan penghargaan kepada Peng Soon yang menjadi individu penting dalam karier badmintonnya.

Menurut atlet berasal dari Melaka ini, sepanjang menceburi sukan badminton, 90 peratus adalah bersama Peng Soon dari tiadanya acara beregu campuran, sehingga pencapaian pingat perak Olimpik Rio 2016.

“Saya memang bukan pemain terbaik Malaysia, tetapi kerana adanya Peng Soon, barulah mulanya perjalanan beregu campuran kami berdua selama ini.

“(Selama) 13 tahun kami berpasangan, bunyi macam lama, tetapi sekelip mata sahaja telah pun berlalu. Kenangan pahit manis, salah faham, harapan dan tekanan, keraguan, kecederaan and sebagainya, pelbagai cabaran dan rintangan kami atasi bersama.

“Kepada Peng Soon, ayah yang terbaik, suami yang terbaik, badminton partner yang terbaik, terima kasih kerana terus bersama saya ketika melalui masa terbaik dan terburuk.

“Dengan ikhlas dan sepenuh hati, saya yakin kamu akan mencapai kejayaan lagi cemerlang selepas ini,” katanya.

Kelmarin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Peng Soon kembali menyertai mereka, hanya sehari selepas beliau berpisah dengan Liu Ying.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyatakan, mereka mencapai keputusan untuk menyerap semula pemain berusia 33 tahun itu, dengan tujuan memperkuat jabatan beregu campuran dan memainkan peranan sebagai mentor untuk skuad remaja kebangsaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here