
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mendaftarkan automatik pengundi berusia 18 tahun sebulan selepas tarikh lahir mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menerusi sesi libat urus dengan ahli parlimen, Wan Junaidi berkata warga Malaysia yang mencapai usia 18 tahun layak mengundi selepas SPR memperaku dan mewartakan daftar pemilih tambahan.
“Proses pendaftaran pemilih secara automatik ini akan mengambil masa sehingga sebulan setengah dari hari individu berkenaan mencapai umur 18 tahun,” katanya.
SPR juga merancang untuk mewarta daftar pemilih tambahan terbaru pada 16 hari bulan setiap bulan.
Ini bermakna individu yang mencapai usia 18 tahun pada Januari akan didaftarkan sebagai pengundi paling lewat 16 Februari.
Menurut Wan Junaidi, SPR akan merujuk alamat terbaru pengundi di sistem Jabatan pendaftaran Negara (JPN) untuk menentukan kawasan mengundi mereka.
Namun mereka yang mempunyai alamat umum atau tidak lengkap dalam sistem itu tidak akan didaftarkan.
Sebanyak 5.8 juta pengundi baru dijangka akan didaftarkan apabila pendaftaran automatik berkuat kuasa pada 15 Disember ini, termasuk 1.2 juta yang berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Terdahulu, dalam kenyataan media hari ini, Wan Junaidi berkata jumlah pengundi baru itu bersamaan peningkatan 40 peratus bagi pengundi berdaftar, iaitu daripada 15.8 juta kepada 21.1 juta.
“Malah bilangan pengundi berdaftar dijangka meningkat setiap bulan,” katanya. – Malaysiapost
