10,000 pekerja Indonesia dibawa Januari depan

0
2
Kelihatan seorang pekerja pembinaan bekerja di bawah matahari yang terik.

INDONESIA bakal menghantar seramai 5,000 hingga 10,000 rakyatnya untuk bekerja di Malaysia bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ianya termasuk pekerja di sektor pembinaan, pembuatan dan pekhidmat domestik Indonesia (PDI), lapor Sinar Harian.

“Saya telah mencadangkan 5,000 hingga 10,000 pada peringkat awal termasuk pembantu rumah, apabila kami telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia, semua sektor lain turut dibenarkan (ke negara ini),” katanya pada sidang media di Pasir Gudang, Johor hari ini.

Saravanan berkata, satu Jawatankuasa Khas di bawah Jabatan Tenaga Kerja akan diwujudkan dalam masa terdekat bertujuan membela nasib warga kerja PDI.

“Ini adalah inisiatif kerajaan setelah berbincang dan kami telah bersetuju bahawa kami akan membela nasib warga kerja Indonesia, maka ini menjadi tanggungjawab kami untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk menunaikan janji kami,” katanya.

Saravanan menambah, Indonesia turut memohon agar Malaysia menetapkan gaji minimum bagi rakyatnya yang bekerja di negara ini sebanyak RM1,500 sebulan.

“Tetapi saya memaklumkan kita tidak boleh menetapkan gaji RM1,500 itu kerana negara kita masih lagi menguatkuasakan gaji minimum RM1,200 sebulan.

“Namun, saya telah bersetuju gaji bermula dari RM1,200, maksudnya sekiranya majikan sanggup bayar RM1,500 sebulan, kerajaan tiada halangan,” katanya.

Saravanan juga menjelaskan, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Bangladesh mengenai pengambilan pekerja asing dari negara itu selepas selesai MoU bersama Indonesia ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here