Tidak pernah menganggap ibu telah mati – Waris MH370

0
2

MESKIPUN sudah lapan tahun misteri kehilangan pesawat MH370 belum terungkai, namun tiada istilah kematian bagi seorang waris kepada ibunya yang merupakan penumpang pesawat berkenaan.

Grace S Nathan berkata, dia tidak pernah berasa putus asa dalam usaha mencari jejak terakhir ibunya.

Malah, wanita yang berusia 32 tahun itu menjelaskan, selagi tidak mempunyai bukti dan pesawat itu tidak dijumpai, dia masih menganggap ibunya masih hidup.

“Walau sudah lapan tahun berlalu saya memang tidak boleh cakap pasal ibu saya dalam past tense, saya cakap mengenai ibu saya dalam present tense.

“Saya tidak pernah boleh sebut dari mulut saya sendiri bahawa ibu saya sudah tidak ada saya tak pernah sebut.

“Saya percaya benda ni boleh dijawab jika kapal terbang itu dijumpai,” katanya dipetik mStar, hari ini.

Grace berkata, sinar harapan untuk mengetahui misteri ini berputik semula setelah membaca berita seorang jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey yang mendakwa telah mengesan kedudukan pesawat malang itu.

Godfrey mendakwa, hasil teorinya mendapati kemungkinan besar MH370 terdampar di barat Perth, Australia.

Teori Godfrey itu bukan sahaja memberi harapan baharu kepada Grace malah seluruh dunia mula memperkatakan kisah hitam yang kian dilupakan itu.

Biarpun masih menjadi teori, namun Grace berharap misteri kehilangan MH370 dapat dirungkaikan sekali gus mengesahkan status sebenar semua yang terbabit dalam nahas itu.

“Mengenai dakwaan itu pihak kami sudah meminta pakar dari negara kita menyemak kembali sama ada betul atau tidak.

“Kami juga berharap penemuan yang baharu ini akan membolehkan pencarian pesawat yang hilang itu dimulakan kembali,” katanya.

Tragedi yang berlaku pada 8 Mac 2014 itu melibatkan seramai 227 penumpang dan 12 orang krew. – Malaysiapost

Kredit Foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here