Kenyataan PM mirip amalan ‘cash is king’

0
2

Fitri Nizam

DULUNYA lawan amalan ‘cash is king’ tetapi sekarang keluarkan kenyataan yang tiada beza dengan amalan itu, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa lebih banyak bantuan disalur jika parti sealiran dengan kerajaan Persekutuan menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, kenyataan itu mewujudkan persepsi pengundi di Sabah hanya akan terima lebih banyak bantuan jika memilih parti yang sealiran dengan kerajaan Persekutuan.

“Dengan kata lain, kenyataan ini berniat mempengaruhi pengundi dengan tawaran: ‘Undi parti Kerajaan Persekutuan, bantuan lebih banyak. Undi yang lain, bantu cukup syarat sahaja’.

“Ini amalan “cash is king”, yang dahulunya ditegur dan dilawan Perdana Menteri sendiri. Malangnya, kenyataan beliau ini mirip apa yang beliau sendiri tegur dan lawan dahulu. Apa sudah jadi?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fahmi berkata, Perdana Menteri seharusnya tidak menggunakan isu bantuan untuk meraih undi.

“Beliau harus menjadi Perdana Menteri untuk semua negeri dan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja Perdana Menteri untuk negeri-negeri yang ditadbir parti kerajaan Persekutuan atau mereka yang mengundi parti Kerajaan Persekutuan.

“Jika beliau enggan bantu negeri-negeri pada kadar dan keperluan yang sepatutnya, saya rasa wajar beliau berundur dari menjadi Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost