PENUNGGANG motosikal parah selepas dirempuh sebuah kereta hingga melambung ke atas bumbung sebuah bengkel dalam kejadian di Jalan Permatang Piah – Kampung Kolam, Pak Badol di Bachok, Kelantan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan patah paha dan tangan kiri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan dari Melor ke rumahnya di Kampung Tasek Pauh, Selising dekat Pasir Puteh.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
“Mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha LC yang berada di laluan bertentangan terus dirempuh kereta tersebut.
“Insiden itu menyebabkan mangsa melambung dan jatuh di atas bumbung sebuah bengkel yang berada di sebelah kiri jalan,” katanya seperti dilaporkan Kosmo, hari ini.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan.
Beliau berkata, polis tiba di lokasi kejadian membuat pemeriksaan fizikal terhadap pemandu kereta terbabit itu, namun berlaku pergelutan.
“Pemeriksaan pada tubuh badan lelaki itu telah menjumpai dadah dipercayai jenis heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM3,020.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai tujuh rekod lampau berkait kes dadah,” katanya.
Shuhaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – Malaysiapost

