KERAJAAN menyerahkan kepada mahkamah untuk menilai bukti dan keterangan baharu dalam rayuan Datuk Seri Najib Razak berhubung kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan tidak akan mencampuri urusan mahkamah kerana di luar bidang kuasa pihaknya.
“Sama ada diterima atau tidak, itu bergantung kepada penilaian mahkamah. Kita kerajaan tidak mempunyai kuasa dalam soal ini.
“Negara kita ada peraturan dan undang-undang, termasuk aspek pengasingan kuasa dalam badan kehakiman dan eksekutif,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Wan Junaidi mengulas mengenai permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.
Najib sebelum ini melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu berkenaan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bersama Low Taek Jho yang lebih dikenali Jho Low bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.
Najib dalan afidavit sokongannya menyatakan, beliau memfailkan notis usul itu selepas mendapati keterangan-keterangan berkaitan penglibatan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya.
Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan bahawa Singapura telah memulangkan AS$15.4 juta yang berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd. yang mempunyai kaitan dengan suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman.
Najib turut memohon mahkamah mendapatkan keterangan lisan viva (viva voce) daripada Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut berkaitan dengan dakwaan penglibatan Zeti dan keluarganya. – Malaysiapost

