PERJUANGAN pasangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying dalam dunia badminton menemui titik noktah, hari ini.
Peng Soon, 33, berkata saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia yang berakhir semalam, adalah kejohanan terakhir mereka sebagai gandingan.
“Ia bukan keputusan yang mudah selepas apa yang kami harungi bersama. Kami gagal bersama, kami berjaya bersama.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong sepanjang tempoh 13 tahun kami bersama. Akhir sekali, terima kasih kepada Liu Ying yang berjuang bersama saya dan memberikan kerjaya badminton yang bermakna buat saya,” kata Peng Soon di Facebook, hari ini.
Pada aksi di Bali itu menyaksikan pasangan ranking nombor sembilan dunia itu berjaya mara sehingga separuh akhir, namun tewas di tangan pasangan Thailand Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai
Peng Soon yang mula digandingkan bersama Liu Ying pada 2009 berjaya meraih 12 gelaran juara di pentas antarabangsa termasuklah pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.
Sepanjang bersama, mereka pernah berada di kedudukan ranking nombor tiga dunia pada 2013.
Terdahulu, Liu Ying menerusi hantaran di Facebook miliknya memohon maaf apabila mereka terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada aksi di Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol yang dijadual bermula 12 hingga 19 Disember ini.
Katanya, tahap kecergasan menjadi faktor utama membuatkan mereka mengambil keputusan sukar berkenaan selepas beraksi dalam enam kejohanan sejak Oktober lalu. – Malaysiapost

