ENAM lagi pelajar Maktab Mahmud di Sik, Kedah dikesan positif Covid-19 sekali gus menjadikan 30 kes membabitkan Kluster Dah Pelangi.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata pertambahan kes berlaku selepas saringan dilakukan terhadap 44 warga maktab tersebut.
Menurutnya, seramai 14 lagi pelajar didapati negatif Covid-19, sementara pelajar yang positif berada pada kategori satu dan dikuarantin di asrama serta dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Seorang pelajar pula telah dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kulim dan setakat ini, belum dibenarkan pulang.
“Seorang lagi dirawat di Hospital Sik, namun sudah dibenarkan pulang pada Jumaat lalu,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan Kluster Dah Pelangi menjadi kluster baharu kes Covid-19 yang dikesan di Kedah melibatkan sebuah sekolah berasrama iaitu Maktab Mahmud. – Malaysiapost

