Lelaki didakwa diheret, polis rakam keterangan pengawal keselamatan

0
2

SEORANG pengawal keselamatan telah dirakam keterangan berhubung insiden seorang lelaki diheret dan ditinggalkan di tepi jalan kerana strok haba seperti dakwaan tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan ditempat kejadian dilakukan oleh unit forensik polis.

“Manakala saksi bebas termasuk pengawal keselamatan berkaitan sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku pada 15 Oktober lalu sekitar jam 6.01 petang, di mana polis menerima laporan dari sebuah hospital kerajaan memaklumkan mengenai seorang lelaki tempatan telah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan Ara Damansara.

“Hasil siasatan mendapati lelaki tempatan berumur lingkungan 59 tahun itu telah dijumpai di tepi jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah disahkan mati oleh petugas kesihatan yang hadir ditempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditempatkan di Unit Patalogi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat dan mengenal pasti punca kematian.

Katanya, bedah siasat dijalankan dan hasil laporan awal menunjukkan tiada kesan kecederaan fizikal dan dalaman yang menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan lengkap untuk mengesahkan punca kematian.

“Polis juga masih menjalankan siasatan berkaitan insiden itu sama ada mangsa sudah meninggal dunia atau tidak ketika diheret keluar pengawal keselamatan.

“Sebab itu, kami tunggu laporan penuh bedah siasat dan toksikologi sebelum membuat sebarang kesimpulan berkaitan kes itu,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkaitan jika wujud unsur jenayah dan kecuaian dalam laporan penuh bedah siasat serta toksikologi mangsa.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dan memastikan kesahihan berita sebelum menularkannya.

“Tindakan penularan berita benar di laman sosial boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial semalam, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua pengawal keselamatan mengheret seorang lelaki di atas jalan sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

Dua video berkenaan yang masing-masing berdurasi seminit 31 saat dan seminit lapan saat itu dikatakan berlaku di sebuah pangsapuri di Ara Damansara, Petaling Jaya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here