Krisis bekalan: Kerajaan benar import ayam selama 3 bulan

0
3

KERAJAAN akan memberi kebenaran mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan, bagi tempoh Disember hingga Februari tahun hadapan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan, memaklumkan kebenaran mengimport ayam bulat sejuk beku itu bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran bermula bulan ini.

MAFI berkata, berdasarkan penelitian Jabatan Perkhidmatan Veterinar, negara berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam dalam pasaran secara purata sebanyak 18 peratus bagi Oktober serta November lalu dan diunjurkan keadaan yang sama akan berlarutan ke bulan ini.

“Keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik (2.09 juta ekor) sehari atau113,220 tan metrik (62.9 juta ekor) sebulan.

“Keadaan ini juga telah menyebabkan kenaikan harga ayam mencecah sehingga lebih RM10 bagi satu kilogram (kg) di pasar basah dan pasar raya.

“Bagi menampung keperluan bekalan ayam, kerajaan mempertimbangkan kebenaran import ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan bagi tempoh bulan ini hingga Februari 2022 tertakluk kepada syarat ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

MAFI menjelaskan, kekurangan bekalan ayam ini antara lain disebabkan berlakunya peningkatan permintaan yang mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi, terutamanya sektor hotel, restoran dan katering bermula Oktober lalu.

Justeru, MAFI berkata, syarikat yang berhasrat mengimport ayam sejuk beku perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk beku.

Katanya, kebenaran pengimportan ini hanya dibenarkan dari negara dan loji penyembelihan yang diluluskan kerajaan.

“Kebenaran mengimport ayam bulat ini adalah bersifat sementara sehingga bekalan ayam dapat distabilkan oleh industri ayam tempatan.

“MAFI akan memastikan kuantum import hanya untuk memenuhi kekurangan bekalan ayam semasa untuk tempoh tertentu saa.

“Langkah dibuat mengambil kira semua aspek secara menyeluruh dalam memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga berpatutan dan pada masa sama kebajikan penternak ayam tempatan dipelihara,” katanya.

Menurut MAFI, langkah intervensi yang diambil kerajaan itu adalah dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh.

“Ia bagi memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang berpatutan, pada masa sama kebajikan penternak ayam tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here