Laksana langkah konkrit bendung Covid-19 di Sekolah – Zahid

0
2
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi bicara hujah akhir kes rasuah Yayasan Akalbudi.

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan untuk melaksanakan langkah yang lebih konkrit untuk membendung penularan wabak Covid-19 di kawasan sekolah.

Ia susulan kes jangkitan kedua wabak itu di Perak membabitkan 12 pelajar di Sekolah agama di Bagan Datuk hari ini, selepas enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dikesan positif wabak berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan berharap kesemua pelajar terbabit dalam keadaan selamat dan diberikan rawatan sewajarnya.

“Seramai 12 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19 dan kesemua mereka merupakan kes bagi kluster baharu iaitu kluster Batu 20 Selekoh.

“Perkara itu amat mendukacitakan dan saya berharap pelajar terbabit berada dalam keadaan selamat serta diberi rawatan sewajarnya,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Justeru, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, langkah yang lebih konkrit untuk membendung penularan perlu dilaksanakan walaupun pelajar yang positif telah diasingkan dan dikuarantin di asrama masing-masing.

“Pelajar lain, para guru dan kakitangan sekolah itu wajar dibantu menjalani ujian Covid-19 untuk memastikan keselamatan mereka.

“Kesemua kontak rapat perlu juga dikenal pasti secepat mungkin bagi memastikan tiada individu lain turut dijangkiti wabak berkenaan.

“Jika ada keperluan mungkin sekolah berkenaan wajar ditutup sementara bagi tujuan sanitasi dan memastikan tiada lagi yang positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, punca jangkitan perlu dikenal pasti supaya pihak sekolah dapat melaksanakan mekanisme yang lebih berkesan untuk mengelak kejadian berulang.

“Sekali lagi saya mendoakan agar pelajar terlibat serta seluruh warga sekolah berkenaan dalam keadaan selamat dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here