PRN Sarawak: ‘PH tetap utuh walau bertanding logo masing-masing’ – Anwar

0
3

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kesepakatan parti komponen gabungan itu kekal utuh walaupun bertanding menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Presiden PKR itu berkata, beliau turut berharap rakyat Sarawak dapat memberi peluang dan keyakinan kepada calon-calon muda yang ditampilkan PKR dan PH untuk bekerja demi kepentingan rakyat Sarawak.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa kesepakatan di dalam PH akan terus utuh meski kita bertanding menggunakan logo masing-masing,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak, malam tadi.

Selain itu, Anwar berkata, pihaknya turut membangkitkan isu berkenaan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya dan kempen dalam PRN kali ini.

“Hal ini masih belum dijelaskan meskipun telah didesak sejak PRN Melaka yang baru berlangsung bulan lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan PKR menambah seorang lagi calon yang akan mewakili parti itu dalam PRN Sarawak sekali gus menjadikan jumlah calon parti itu kini adalah 28.

Anwar berkata, calon itu ialah Hapeni Fadil, mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan.

“Ada tambahan iaitu DUN Simunjan berdasarkan atas permintaan orang tempatan dan badan bukan kerajaan yang lain. Mereka minta supaya Hapeni Fadil menjadi calon kawasan itu. Itu sahaja yang ditambah setakat ini.

“Setakat ni tak tahu (jika ada pertambahan calon di masa akan datang). Saya tiada maklumat. Memang ramai nak bertanding,” katanya

Beliau berkata, PKR berpegang teguh dengan kerjasama parti komponen PH, dengan tiada pertindihan calon bagi PRN Sarawak.

Katanya, PKR hanya meletakkan wakil di kawasan yang mempunyai jentera dan kekuatan parti.

“Kita kena fokus kepada kawasan yang mempunyai jentera dan kekuatan. Apakah ini bermakna kita beri laluan kepada GPS (Gabungan Parti Sarawak) (untuk menang)? Tak. Kita tak mahu cuba bolot dalam keadaan kawasan yang kita tak punyai cukup kekuatan,” katanya.

Terdahulu, PKR mengumumkan seramai 27 calonnya akan bertanding pada PRN Sarawak kali ini, berbanding pengumuman awal parti itu akan bertanding di 49 kerusi DUN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here