Malaysia anjur DSA, NATSEC Asia Mac 2022

0
2

MALAYSIA teruja kembali menganjurkan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2022, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, kali terakhir persidangan dan pameran itu diadakan adalah pada 2018 akibat kekangan pandemik Covid-19.

Menurutnya, DSA kali ke-17 itu akan dijalankan serentak dengan NATSEC Asia pada 28 hingga 31 Mac 2022.

“Pelancarannya telah saya sempurnakan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebentar tadi.

“Melambangkan prestijnya, DSA2022 bakal menghimpunkan 1,170 syarikat daripada 52 negara termasuk dari Amerika Syarikat, Jepun, China, Rusia, United Kingdom dan Turki,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Hishammuddin berkata, memandangkan acara itu akan berlangsung pada Mac 2022, kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi pandemik terutama penularan varian Omicron.

“Keselamatan tetap keutamaan dan kerajaan akan terus mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Semoga semua dipermudahkan,” katanya.

Beliau berkata, DSA bukan sekadar acara komersial untuk pemain industri pertahanan dan keselamatan mempamerkan peralatan berteknologi tinggi, malah menjadi platform membincangkan cabaran dihadapi industri dan pendekatan menanganinya.

“Diharapkan DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 akan terus berupaya mempromosikan industri pertahanan dan keselamatan tempatan kepada dunia, serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here