Peruntukan RM25 juta bagi Transformasi Pasar Malam

0
2

KERAJAAN akan memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program diusahakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan.

Menurutnya, elemen norma baharu itu termasuklah penugasan ‘Marshal Pasar Malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

“Untuk itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi
pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara.

“Ini kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2021 (HPPK 2021) dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam, di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar dan Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited dalam soal menjaga kebajikan rakyat untuk memastikan tidak ada yang tertinggal dalam mengecapi nikmat kemakmuran negara selaras konsep Keluarga termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan penjaja dan peniaga kecil, sukacita saya umumkan hari ini bahawa kerajaan turut memberi peruntukan sebanyak RM48.52 juta bagi Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil.

“Melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus (0%) daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah MEDAC bagi menambahbaik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada,” katanya.

Beliau berharap segala inisiatif yang dilaksana akan memberikan manfaat kepada semua dalam membangunkan semula perniagaan yang terjejas sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here