Mercun bernilai RM450,000 dirampas

0
2

PELBAGAI jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM450,000 dirampas dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Jalan Sibiyu, Bintulu pada Rabu lalu.

Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Unit Risik Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Bintulu bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Komander PPMW5 Sarawak Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali, berkata serbuan dijalankan terhadap kediaman yang telah dikenal pasti melakukan kesalahan dibawah Akta Bahan Letupan hasil daripada maklumat risikan awal yang telah dibuat.

“Pasukan serbuan berjaya menjumpai pelbagai jenis mercun dan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang berada di kediaman itu telah ditahan.

“Lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barangan tersebut dan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai anggaran rampasan mercun tersebut adalah sebanyak RM 450,000 dan kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bintulu untuk menjalankan siasatan dan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, pemeriksaan dari semasa ke semasa akan dijalankan bagi membendung penyeludupan mercun terutama menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here