‘Malaysia dijangkiti penyakit lantik penasihat’ – Kit Siang

0
2

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mempertikaikan keperluan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai tiga penasihat khas membabitkan hal ehwal kesihatan, agama serta undang-undang dan hak asasi manusia.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata Malaysia kini sedang dijangkiti penyakit melantik penasihat, di mana Perdana Menteri akan mempunyai 31 Penasihat Khas untuk ke semua 31 Menteri dalam Kabinetnya.

“Manakala setiap orang Menteri juga akan juga mempunyai Penasihat Khas juga?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, memaklumkan kepada Parlimen bahawa Perdana Menteri  ketika ini mempunyai tiga orang penasihat khas.

“Ahli Parlimen Pengerang, (Datuk Seri) Azalina Othman Said adalah penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia, Pengerusi Umno Kedah, (Datuk Seri ) Jamil Khir Baharom pula adalah penasihat khas hal ehwal agama.

“Manakala ahli jawatankuasa Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Adeeba Kamarulzaman dijangka akan dilantik menjadi penasihat khas kesihatan Ismail Sabri,” katanya.

Selain itu, Kit Siang berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga mempunyai seorang penasihat khas, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang juga timbalan menteri kesihatan.

Justeru, beliau berpendapat tiada lagi keperluan untuk diadakan mesyuarat Kabinet mingguan, dan ia cukup digantikan dengan mesyuarat mingguan penasihat khas.

“Apakah justifikasi pelantikan Penasihat Khas Perdana Menteri untuk portfolio yang sudah ada menterinya ini? 

“Adakah perkara ini menunjukkan kekurangan kepercayaan Perdana Menteri sendiri dalam Menteri dan Kementerian beliau?,” katanya.

Menurut Kit Siang, menyedari keadaan itu adalah lebih baik ‘buang terus’ Menteri Kabinet dan gantikan sahaja dengan Penasihat Khas.

“Bukan ini sahaja lantikan ‘gaji buta’ di bawah Ismail Sabri — kita bukan sahaja ada lantikan GLC yang ‘tidak berguna’, tetapi juga duta khas ke kawasan tertentu.

“Sedangkan kita sudah ada duta yang dilantik ke negara-negara ini, membawa kepada situasi di mana kita mempunyai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang tidak boleh melawat Arab Saudi,” katanya.

Semalam, Abdul Latiff dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, Perdana Menteri akan menerima seorang lagi Penasihat Khas yang bertanggungjawab menasihati beliau dalam bidang kesihatan.

Katanya, Penasihat Khas itu kini sedang dalam proses lantikan mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal berkaitan dengan skop tugas mereka.

Jelasnya, ia boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here