SERAMAI 150 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata mereka akan dipantau secara dekat oleh pasukan perubatan sepanjang ditempatkan di IAB.
“Mereka ditempatkan dua orang setiap bilik yang selesa bagi membolehkan murid yang menjalani kuarantin berada dalam keadaan kondusif.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak bagi memastikan keselamatan murid ini diambil berat dengan segala pemantauan dilaksanakan dengan baik,” katanya menerusi video dimuatnaik di Facebooknya malam tadi.
Radzi berkata buat masa ini pelajar lain masih berada di asrama Sekolah Seri Puteri dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada ibu bapa.
Setakat petang semalam, seramai 139 pelajar, 15 guru dan 10 petugas Sekolah Seri Puteri dilaporkan positif Covid-19.
Mereka yang positif dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang. – Malaysiapost

