SEKATAN pengembara dari negara yang melaporkan penularan varian baharu Covid-19, Omicron atau dari negara berisiko tinggi masih berkuat kuasa.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negara dikesan melaporkan varian membimbangkan itu adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.
Menurutnya, pihaknya juga telah mengenal pasti negara berisiko di mana pengembara mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan menyertai Gelembung Pelancongan Langkawi (GPL).
Negara berkenaan adalah United Kingdom, Belgium, Portugal, Jepun, Belanda, Brazil, Australia, Norway, Kanada, Republik Czech, Korea Selatan, Perancis / Reunion Island, Hong Kong, Austria, Israel, Sepanyol, Arab Saudi, Jerman, Ghana, Denmark, Republik Ireland, Sweden, UAE, Nigeria dan Amerika Syarikat (California).
Senarai negara berisiko tinggi akan dikemaskini setiap hari dan boleh diakses di laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM).
“KKM telah memantau dan menjalankan penilaian risiko bagi menentukan negara berisiko tinggi berlaku penularan varian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, bagi penduduk Langkawi membabitkan warganegara dan pemegang pas lawatan panjang dari negara-negara yang disenaraikan itu, mereka perlu melalui pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.
Beliau berkata, mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke Langkawi dan penerbangan terus ke Langkawi tidak dibenarkan.
Menurutnya, pada masa yang sama, KKM juga sentiasa menjalankan penilaian risiko berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan bagi menentukan tahap risiko sesebuah negara itu sebelum dibenarkan menyertai GPL.
“Antara kriteria yang diambil kira adalah insiden Covid-19 dan liputan imunisasi di negara-negara tersebut.
“Senarai negara-negara yang berisiko tinggi tetapi tidak melaporkan kes Omicron, pengembara dari negara berkenaan atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari, tidak dibenarkan menyertai GPL,” katanya.-Malaysiapost

