Kerajaan selangor setuju Jajaran Utara ECRL

0
2

KERAJAAN Selangor bersetuju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilaksanakan mengikut Jajaran Utara melibatkan laluan dari Mentakab-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang seperti dicadangkan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 17
November 2021 dan sekali lagi pada 24 November lalu, telah bersetuju untuk menerima cadangan Jajaran Utara ECRL.

Beliau berkata, kerajaan negeri seterusnya meluluskan Jajaran Seksyen C ECRL yang melibatkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 yang merangkumi Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

“Sehubungan, saya dengan rasminya memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor tiada lagi halangan bagi pelaksanaan ECRL untuk merentasi bahagian utara negeri Selangor,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan menerusi MOT sebelum ini engkaji semula jajaran ECRL bagi Seksyen C yang
melibatkan laluan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang pada pertengahan tahun 2020.

“MOT, mendapati kebarangkalian Jajaran Utara di Seksyen C ECRL meningkatkan kebolehmampuan projek ECRL adalah lebih baik dan seterusnya memberi lebih manfaat kepada ekonomi, alam sekitar, dan sosial berbanding Jajaran Selatan.

“Oleh yang demikian, muafakat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor perlu dimuktamadkan demi kesinambungan dan perlaksanaan ECRL bagi memacu pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di Selangor malah Malaysia,” katanya.

Menurutnya, selain itu MMKN juga bersetuju menyambung semula Mesyuarat Penyelarasan Peringkat Negeri Selangor yang bertindak sebagai Jawatankuasa Khas 4 Projek ECRL (Penyelarasan Negeri & Utiliti) serta mesyuarat di peringkat jabatan berkaitan.

“Ia bagi memastikan kelancaran projek mega ini.

“Antaranya, mesyuarat bulanan dengan Pengarah Tanah dan Galian Selangor amatlah penting kerana perlu tindakan segera dalam menangani isu-isu seperti pengambilan tanah, Tanah Rizab Melayu, dan Hutan Simpan Kekal,” katanya.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut berharap pelaksanaan ECRL dapat dipantau secara bersepadu dalam suatu Jawatankuasa Khas Bersama Pelaksanaan Projek Jajaran Utara ECRL Selangor yang dianggotai kerajaan
persekutuan dan kerajaan negeri.

“Selain itu, kerajaan negeri juga berharap bahawa suatu Jawatankuasa Pembangunan Bersama Pulau Carey turut dapat ditubuhkan agar hasrat menjadikan Pulau Carey sebagai hab logistik baharu dapat direalisasikan secepat mungkin.

“Secara ringkasnya, pelaksanaan Jajaran Utara merupakan pilihan baik yang diambil kerajaan negeri dan bakal memberi pencapaian yang lebih besar untuk rangkaian rel negara dalam jangka masa panjang.

“Justeru, dalam memacu pembangunan dan sistem pengangkutan yang efisien di negeri Selangor, besar harapan kami agar
kerajaan persekutuan akan meneliti ‘wishlist’ negeri dan dapat melaksanakan cadangan tersebut pada masa terdekat,” katanya.

Beliau berdoa dan berharap pembinaan ECRL dapat disiapkan mengikut jadual dan mula beroperasi pada 2027. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here