[PARLIMEN] MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mengesan ketiga-tiga duta khas yang dilantik kerajaan menerima emolumen berjumlah RM27,227.20.
“Berdasarkan kontrak perkhidmatan yang telah dimuktamadkan, emolumen yang diterima oleh kesemua duta khas ini adalah RM27,227.20.
“Mereka juga ditawarkan beberapa kemudahan lain seperti kemudahan telefon bimbit, kenderaan, pemandu dan pejabat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perbelanjaan emolumen, elaun serta perjalanan rasmi setiap duta khas bertaraf menteri yang dilantik kerajaan sejak April 2020.
Dr Abd Latiff berkata tiga Duta Khas kepada Perdana Menteri yang dilantik sejak April 2020 ialah Duta Khas Ke Timur Tengah, Duta Khas Ke Republik Rakyat China serta Duta Khas Ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Beliau juga mengesahkan tiada perjalanan rasmi ke luar negara dibuat oleh ketiga-tiga duta khas berkenaan.
Tiga duta khas tersebut ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang (Timur Tengah); Datuk Seri Tiong King Sing (China) dan Datuk Seri Richard Riot (Asia Timur). – Malaysiapost

