Covid-19: DPMM harap agensi kerajaan selain LHDN bantu usahawan

0
2
https://www.melakahariini.my/belanjawan-melaka-2021-cadang-peruntukan-rm5-juta-perkasa-usahawan-bumiputera/

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyokong sepenuhnya pengumuman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menangguhkan Bayaran Anggaran Cukai (CP204), dan Skim Bayaran Ansuran (CP500) bagi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2022.

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, penangguhan bayaran itu adalah sebahagian daripada beberapa cadangan pemulihan ekonomi disarankan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada kerajaan.

“Data-data yang dicerna dari dalam dan luar negara telah menunjukkan impak PKP akan menokok sebaik ekonomi dibuka semula dengan peningkatan ketara kes-kes kebangkrapan, lambakan hutang dan penggulungan syarikat.

“Begitu juga dengan pertambahan kes-kes jenayah, gangguan mental, keganasan rumahtangga dan penceraian.

“Justeru, LHDN mengambil langkah proaktif menangani krisis yang telah menjejaskan kelangsungan para usahawan akibat PKP berpanjangan, khususnya dari kalangan PMKS Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun demikian, beliau berkata, ia masih jauh daripada sasaran pemulihan Covid-19 sepenuhnya berikutan keadaan semasa yang tidak menentu.

“Penguncupan ekonomi negara 4.5% pada Julai hingga September tahun ini berbanding pertumbuhan 16.1% pada suku sebelumnya, peningkatan kes positif Covid-19 dengan varian lebih mudah berjangkit, serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion yang masih belum mampu mengekang impak PKP memberi petanda banyak lagi perlu dilakukan kerajaan.

“Sehubungan itu, DPMM berharap agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat mengikut langkah LHDN mencari jalan terbaik membantu rakyat bukan sahaja dari aspek melonggarkan syarat berbentuk fiskal semata-mata, malah memastikan penguatkuasaan lebih telus dan tuntas agar tiada pihak cuba menangguk di air keruh.

“Kami juga mencela aktiviti pencatutan dan manipulasi harga khususnya bagi barangan keperluan asas yang sedang berlaku dan menggesa kerajaan mengheret penjenayah sebenar ke penjara,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto Melaka Hari Ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here