POLIS meminta pemandu Proton Persona yang didapati memandu di dalam lorong motosikal di Kilometer (KM) 29.5, Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya, hingga video tindakannya itu tular di laman sosial, tampil bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya mengesan sebuah video yang tular di media sosial berhubung kejadian itu, semalam.
“Satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kenderaan terlibat adalah sebuah kereta jenis Proton Persona,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Sehubungan itu, Mohamad Fakhrudin menyeru pemilik atau pemandu kereta dan saksi yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rozilah Hussin di nombor 016-2679025.
Polis turut memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk mematuhi arah papan tanda dan undang-undang jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian nahas. – Malaysiapost

